Wednesday, May 25, 2011

Perjalanan Seribu Batu bermula Dengan Langkah Yang Satu

Suatu perkara yang dirancang perlu dijalankan.
Suatu perubahan yang hendak dibuat perlu ada permulaan.
Sebuah cita-cita bukan sekadar angan-angan sahaja.
Semua ini memerlukan langkah pertama.
Memang sukar untuk individu untuk melangkah dalam
membuat perubahan atau perancangan. Ini disebabkan
terdapat rasa kurang selesa atau takut kepada perubahan.
Kurang selesa kerana mungkin perubahan yang dilakukan
akan membawa kesan negatif kepada perancangan.
Rasa takut, kerana takut kepada kegagalan yang mungkin
berlaku kepada apa yang dirancangkan.
Ada yang mempunyai rasa rendah diri terhadap cita-cita
yang hendak dicapai. Takut dicemuh dan takut diketawa.
Dan ada juga yang hanya masih mampu berangan-angan kepada
apa yang dicita-cita. Tiada usaha untuk bermula walaupun
hanya langkah pertama.
Tanpa langkah pertama tidak mungkin perjalanan beribu
batu akan bermula. Tanpa langkah pertama tiada kejayaan
akan dicapai.
Rasa takut melangkah merupakan penyebab utama mengapa
ramai yang tidak mahu mula melangkah. rasa takut ini
adalah kerana beberapa faktor.


Faktor pertama
Takut gagal. Ada yang sebelum bermula sudah memikirkan
kegagalan daripada bakal usaha yang dirancangkan. Takut
gagal ini mendorong untuk tidak melakukan apa-apa langsung.
Takut gagal juga menyebabkan perancangan hanya tinggal
perancangan. Perkara ini boleh melemahkan keyakinan diri
dan keyakinan orang lain.
Fikiran negatif. Aku tidak boleh. Aku tidak boleh. Aku tidak
boleh menguasai diri.


Faktor kedua
Takut perubahan. Ada pula yang tidak mahu melangkah kerana
takut kepada perubahan. Perubahan yang tidak lagi pasti
sama ada membawa kepada kebaikan atau keburukan. Perubahan
yang belum tahu lagi kesannya positif atau negatif. Yang
pastinya ada yang takut perubahan sebelum lagi melangkah.


Faktor ketiga
Takut cemuhan. Melangkah tidak lagi, sudah jatuh tersungkur
angkara orang lain. Cemuhan, kritikan dan kutukan adalah
sifat semulajadi manusia terhadap manusia yang lain. Mungkin
kerana cemburu, mereka mencemuh. Mungkin kerana dengki mereka
mengutuk. Mungkin kerana irihati mereka mengkritik secara
negatif. Tanpa kecekalan tiada siapa yang mampu menghadapi
cemuhan, kritikan negatif dan kutukan. Maka kecundang jatuh
sebelum lagi bermula. Sebelum lagi melangkah.
Faktor-faktor diatas perlu diatasi agar langkah pertama
mampu dilakukan. Penyelesaian adalah terletak didalam minda
setiap individu yang mahu membuat langkah.
Jika takut kepada kegagalan fikirkan sejenak kepada
kejayaan orang lain. Setiap mereka yang berjaya pasti ada
kegagalan yang disebaliknya. Malah kegagalan adalah lebih
banyak daripada kejayaan namun bagi mereka kegagalan adalah
hanya satu nota kecil daripada sebuah novel kejayaan mereka.
Lihatlah kejayaan Rasullah menyebarkan Islam itu sendiri.
Adakah ia dicapai dengan begitu mudah atau ia dicapai dengan banyak
kegagalan. Adakah baginda terus mengalah?
Bayangkan kesukaran Baginda untuk mengajak penduduk Mekah
kepada mengenali Islam pada awal perkembangan Islam itu sendiri,
namun Baginda tidak berputus asa membawa ajaran Islam ke
tempat lain, ke tempat yang bernama Madinah. Disitulah,
Islam berkembang menjadi kerajaan dan akhir secara aman
Baginda kembali ke Mekah dan penduduk Mekah menerima Islam
akhirnya.
Bagi mereka yang berjaya, tiada dalam kamus hidup mereka
erti kegagalan. Bagi yang berjaya, kegagalan yang berlaku
membolehkan mereka untuk membuat penilaian semula dan membuat
langkah lain untuk mencapai kejayaan. Mereka tidak takut
gagal. Mereka yang berjaya hanya mahu terus melangkah.
Bagi yang takut kepada perubahan. Fikirkan sejenak tentang
diri kita ini. Fikirkan sejenak tentang ciptaan Allah ini.
Diri kita sendiri.
Bayangkan diri kira sewaktu hari pertama kejadian kita ini.
Daripada satu cel berubah menjadi beribu cel, kemudian
menjadi daging dan tulang, darah mengalir, jantung berdengup.
Sembilan bulan, Kepada ibu berlaku perubahan semata-mata untuk
kita dalam kandungan. Sembilan bulan kita berubah pada tahap
setiap minggu pasti ada perkembangan.
Apabila kita lahir apakah perkara pertama seorang manusia
mahu apabila lahir ke dunia? Mahu cuba melangkah. Mahu cuba
mengetahui dan mengenali dunia sekeliling. Perkara ini hanya
mampu dilakukan dengan perubahan pada tubuh badan. Kekuatan
otot dan tulang. Akhirnya mengiring, kemudian merangkak,
kemudian bertatih dan akhirnya pandai bangun sendiri, melangkah dan
berjalan.
Lihatlah dan perhatikan diri kita sendiri. Ia memerlukan
perubahan agar kita berjaya berdiri dan membuat langkah
pertama. Apakah kesan perubahan itu membawa kesan negatif
kepada kita? Adakah ia membawa keburukan kepada kita?
Pasti yang ada hanyalah kesan parut jatuh bangun kita belajar
berjalan dan jika sekarang ditanya tiada siapa boleh tunjukkan
parut bila mula belajar berjalan untuk langkah pertama.
Dan lihat diri kita sekarang ini bermisai, berjanggut,
berdada dan sudah matang. Maka fikirkan sejenak, perubahan
yang berlaku kepada tubuh kita adalah untuk persediaan untuk
kita menjadi lebih matang dan bersedia dalam mencapai
kejayaan.
Mengapa kita masih lagi takut perubahan untuk membuat langkah.
Bagi yang takut cemuhan. Cemuhan, kritikan negatif dan kutukan
adalah lumrah. Lumrah alam. Ia melambangkan keikhlasan mereka
yang memberikan perhatian kepada diri kita. Ia merupakan
pertanda bahawa kita diperhatikan.
Mengapa masih takut lagi. Tiada lagi kita keseorangan dalam membuat
langkah. Cemuhan mereka adalah keikhlasan hati mereka. Kejujuran
mereka dalam penyataan mereka. Jadikan kata-kata mereka sebagai
cabaran dan kata-kata semangat. Bahawa apa yang telah dinyatakan
tidak sama sekali tidak.
Hanya selepas mencapai kejayaan dengan membuat langkah pertama
barulah kita mampu menangkis cemuhan, kritikan negatif dan kutukan,
tanpa perlu berkata apa-apa.
Akhir bicara, marilah kita ambil masa sebentar untuk menilaikan
perjalanan hidup kita ini, Perjalanan hidup yang beribu batu. Adakah kita
sudah ambil langkah pertama, langkah yang betul dalam mencapai
kejayaan kepada apa yang kita cita-citakan?
Adakah kita sudah mulakan langkah pertama untuk mencapai cita-cita
hidup kita.
Tutuplah mata. Tutuplah mata dan bayangkan cita-cita yang kita mahu capai. Sila tutup mata anda semua selama 10 saat, Bayangkan cita-cita masing-masing.
Jangan buka mata lagi. Dengan kaki kanan, langkahlah setapak ke depan. Buatlah langkah yang pertama. Anda teleh membuat langkah
pertama cita-cita anda.
 Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...